Cloudy

Kuala Lumpur, MY

26°C

Cloudy

Humidity: 89%

Wind: N at 4 mph

Advertisement

Dua pemain mengaku salah

DUA pemain bola sepak mengaku terbabit dalam kegiatan rasuah pada musim lepas.

Demikian jelas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Menurutnya, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memaklumkan tentang penglibatan kedua-dua pemain terbabit kepada FAM namun tindakan mahkamah tidak dapat diambil.

"Walaupun mereka (dua pemain terbabit) telah pun mengaku dan disahkan menerima rasuah daripada bookie tetapi buktinya adalah tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Liga Malaysia 2009 di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.

Menurut Azzuddin, FAM juga tidak mempunyai peruntukan peraturan dan hukuman yang khusus untuk menghukum mereka.

"Kedua-dua pemain itu bebas untuk bermain di mana-mana pasukan, tapi kita telah memaklumkan kepada persatuan negeri dan ahli gabungan FAM tentang perkara itu," katanya.

Azzuddin berkata walaupun Liga Malaysia 2009 belum bermula tetapi telah wujud tanda-tanda gejala rasuah di kalangan pemain bola sepak tempatan.

"Terdapat seorang pemain senior telah cuba mempengaruhi beberapa pemain muda untuk terjebak dalam gejala itu dan kes ini telah pun diserahkan kepada BPR," katanya.

Begitupun, dia tidak mengulas lanjut tentang perkara itu termasuk mengenai latar belakang pemain terbabit sama ada berada di dalam skuad kebangsaan atau sebaliknya.

Mengulas mengenai kedudukan Jamaluddin Mohd. Rodzi yang dilantik sebagai pengurus pasukan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dua hari lepas, Azzuddin berkata ia sebenarnya tidak boleh dilakukan.

"Mengikut perlembagaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), dia tidak boleh memegang jawatan itu memandangkan kes rasuahnya masih berjalan di mahkamah," katanya.

Jamaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan Negeri telah disabitkan dengan pertuduhan rasuah.

"Perkara ini akan saya teliti dan rujuk kepada mesyuarat exco FAM bagi tindakan selanjutnya sama ada menasihati Pafa atau sebagainya," kata Azzuddin.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin menjelaskan bahawa FAM tidak akan membuat permintaan kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF, Disember ini.

Katanya, FAM menghormati keputusan yang telah dibuat iaitu memilih Indonesia dan Thailand sebagai tuan rumah bersama.

"FAM akan sentiasa berhubung rapat dengan Wisma Putra berhubung soal keselamatan pasukan kebangsaan yang akan beraksi di Thailand ekoran keadaan huru-hara di negara itu," katanya.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama tuan rumah Thailand, Vietnam dan Laos manakala kumpulan A membabitkan Indonesia, Singapura, Myanmar dan Kemboja.

SUMBER: Kosmo

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy