Mostly Cloudy

Kuala Lumpur, MY

28°C

Mostly Cloudy

Humidity: 79%

Wind: NE at 2 mph

Advertisement

Sathia kekal sebagai jurulatih Malaysia

JODOH jurulatih B. Sathianathan bersama skuad bola sepak kebangsaan nampaknya masih lagi panjang.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk melanjutkan kontrak Sathia tetapi dengan syarat tidak melebihi setahun.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan kontrak bekas jurulatih skuad bawah 23 itu yang akan tamat hujung bulan ini tidak akan disambung gara-gara prestasi hambar skuad negara pada Kejohanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) baru-baru ini.

Namun, setelah Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mendengar sendiri laporan daripada pengurus pasukan negara, Datuk Soh Chin Aun, FAM akhirnya bersetuju untuk memberi satu lagi peluang kepada Sathia membuktikan keupayaannya.

Begitupun, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin memberitahu bahawa tempoh kontrak Sathia akan dinilai berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh FAM iaitu melihat kedudukan negara dalam ranking dunia dan juga prestasi pada pusingan Kelayakan Piala Asia yang bermula Januari sehingga November tahun hadapan.

"Setelah Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan yang diketuai Tuanku Presiden mendengar laporan daripada Datuk Soh Chin Aun, FAM bersetuju untuk melanjutkan kontrak Sathianathan secara bersyarat," kata Khairy pada sidang media di Wisma FAM semalam.

"Syarat yang ditetapkan oleh FAM dalam kontrak baru Sathia itu ialah berdasarkan kedudukan negara dalam ranking bola sepak dunia dan juga prestasi sepanjang pusingan Kelayakan Piala Asia sehingga November tahun depan.

"Tapi saya ingin jelaskan bahawa ini tidak bermakna Sathia akan menjadi jurulatih skuad negara pada temasya Sukan SEA Laos 2009 Disember depan kerana satu jawatankuasa kecil akan memutuskan sama ada dia layak atau tidak atau pun kita akan mengambil jurulatih lain," katanya lagi.

Menurut Khairy, purata usia pemain negara yang masih muda serta kesuntukan masa melakukan persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia juga menjadi antara sebab mengapa Sathia terus diberi kepercayaan membimbing skuad negara.

"Skuad negara sebenarnya masih dalam proses pembinaan dan perancangan, malah purata usia pemain dalam skuad ini ialah 24 tahun," katanya.

"Lagipun, kempen Kelayakan Piala Asia akan bermula bulan depan dan jika kita lantik jurulatih baru, maka jurulatih itu akan kesuntukan masa untuk membuat persediaan, memilih pemain dan sebagainya.

"Malah, FAM juga mendapati ada peningkatan yang dipamerkan oleh skuad negara sepanjang tahun ini iaitu dengan kejayaan memperbaiki ranking dunia dan juga mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka.

"Kegagalan di Piala Suzuki AFF kita anggap sebagai satu nasib malang yang menimpa kita, oleh itu kita buka buku baru pada tahun hadapan," katanya lagi.

Dengan keputusan yang diumumkan oleh FAM ini, maka Sathia yang mula membimbing skuad negara sejak Disember tahun lepas akan menyambung tugasnya itu pada kempen kelayakan Piala Asia bermula dengan menentang Emiriyah Arab Bersatu Januari depan sehingga pertemuan terakhir dengan Uzbekistan, November depan.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy