KEKURANGAN pertandingan kompetitif pada peringkat umur bawah 18 tahun menjadi punca terhadap kelemahan skuad bola sepak negara beraksi pada peringkat antarabangsa.
Demikian simpulan jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan.
"Walaupun telah memilih pemain yang paling konsisten dalam Liga Malaysia untuk mewakili negara, dalam banyak perlawanan pemain-pemain yang dipilih masih melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
"Kebanyakan pemain boleh bermain pada tahap yang baik tapi bila (dalam) perlawanan, mereka tak ada konsistensi. Itulah yang saya nampak selama setahun saya menjadi jurulatih."
Sathianathan berkata kematangan dan konsistensi dalam corak permainan sebenarnya banyak dipengaruhi oleh penglibatan pemain dalam perlawanan kompetitif pada peringkat umur muda dan bukan kerana latihan semata-mata.
Menurutnya, peringkat umur 12 hingga 15 tahun adalah satu masa yang sangat penting untuk mendedahkan pemain kepada pertandingan liga tetapi di Malaysia tidak ada sistem liga yang sistematik untuk peringkat umur seperti itu."Tidak seperti di sesetengah negara seperti England, Jepun dan Korea Selatan, sukan bola sepak di Malaysia terlalu bergantung kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjalankan liga-liga kecil sedangkan liga-liga kecil dan liga remaja boleh dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu di peringkat mukim dan daerah," katanya.
Sathianathan berkata sebagai pelan jangka pendek FAM, dia merancang untuk lebih fokus kepada perlawanan dengan negara-negara yang mempunyai ranking yang lebih baik daripada Malaysia untuk memperbaiki kedudukan negara dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sasarannya adalah untuk melonjakkan ranking Malaysia yang sekarang berada pada kedudukan 151 kepada bawah 130.
Mengenai pusingan kelayakan Piala Asia yang bermula Januari tahun depan, Sathianathan berkata dia hanya memikirkan untuk melakukan yang terbaik pada pusingan kelayakan tersebut.
"Kita boleh melakukan sesuatu tapi saya tak mahu memberi harapan terlalu tinggi," katanya.
SUMBER: Kosmo
