Mostly Cloudy

Kuala Lumpur, MY

28°C

Mostly Cloudy

Humidity: 79%

Wind: NE at 2 mph

Advertisement

FAM sedia rombak teknikal

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk merombak Jawatankuasa Teknikalnya, tahun depan dengan melantik kalangan bekas pemain dan jurulatih negara atau hanya mereka yang benar-benar berpengalaman dan berpengetahuan dalam sukan itu.

Presidennya, Sultan Ahmad Shah berjanji untuk mengkaji kesesuaian rombakan itu kerana berpendapat, tiada siapa yang boleh kekal di sesuatu tempat termasuk dirinya apatah lagi sekiranya tindakan drastik itu adalah untuk kemajuan bola sepak negara.

"Kami mungkin mengkaji perkara ini tahun depan. Bola sepak cukup dekat di hati saya tetapi bagi saya, tiada siapa yang boleh kekal termasuk saya yang boleh keluar pada bila-bila masa. Jika ia demi kebaikan bola sepak, saya menyokong apa juga tindakannya," katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pahang di sini, semalam. Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad.

Cadangan merombak jawatankuasa yang paling dekat berkaitan persediaan dan pencapaian skuad negara itu diutarakan ekoran kegagalan terbaru Malaysia ke separuh akhir Piala Suzuki AFF setelah dibenam Thailand 3-0 dan Vietnam 3-2 dan hanya menewaskan Laos 3-0 di Phuket, minggu lalu.

Peranan dan kelayakan mereka yang menduduki jawatankuasa itu dipertikaikan malah pernah didedahkan pengurus pasukan negara di Phuket, Datuk Soh Chin Aun sebagai tidak pernah mengadakan mesyuarat dalam membincangkan nasib para jurulatih tiga bulan sebelum kontrak mereka berakhir hujung bulan ini.

FAM bagaimanapun pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Isnin lalu, memutuskan untuk membentuk jawatankuasa kecil khas yang diketuai Timbalan Presidennya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam mengkaji punca kegagalan anak didik B. Sathianathan di Phuket.

Malahan rombakan itu dianggap semakin perlu berikutan kekosongan pada jawatan Pengarah Teknikal FAM yang ditinggalkan oleh Robert Alberts dari Belanda untuk melatih Sarawak dalam Liga Malaysia musim 2009 yang bermula bulan depan.

SUMBER: Utusan

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy